Wednesday, November 23, 2011

BANGAU OH BANGAU – BUDAYA MENUDING JARI

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.

Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul? Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,

Kenapa engkau panjang sangat?

Macamana aku tak panjang,

Kerbau tak makan aku.

Katak oh katak,

Kenapa panggil hujan?

Macamana aku tak panggil,

Ular nak makan aku.

Ular oh ular,

Mengapa nak makan katak?

Macamana aku tak makan.

Memang makanan aku.

Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat.

Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.

Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.

Jika ditanyakan kepada sianak, “Kenapa awak jadi begini?”

Dia pun menjawab, ”Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!”

Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, “ Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.”

Begitulah seterusnya.

Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.

Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya apabila ia berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk mengubah diri kita. Orang yang proaktif ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain. Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.

Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif ‘Bangau oh bangau’ maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara.

2 comments:

Hazlina (aka Alang) said...

berani mengaku kesalah diri sendiri memang bagus.

Hazlina (aka Alang) said...

memang bagus mengaku kesalahan diri sendiri.